"Yang akan memakmurkan masjid-masjid hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, mendirikan solat, membayar zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, mudah-mudahan, mereka menjadi dikalangan orang-orang yang mendapat petunjuk".
(Al-Qur'an Surat At Taubah ayat 18)
http://masjidtemerlohjaya.blogspot.com/

Tuesday, November 30, 2010

Sambungan tafsir yasin 1 - 12 tafsir al-Munir.

Pengajaran:

1. Al-quran adalah mukjizat Nabi yang kekal hingga ke hari kiamat, turun dari Tuhan tanpa kebatilan masa lalu atau akan datang.
2. Muhammad s.a.w. adalah utusan Allah dengan membawa petunjuk dan agama yang benar iaitu Islam.
3. Perutusan Nabi adalah untuk bangsa Arab secara khusus dan kepada seluruh manusia secara am.
4. Mereka yang kufur, melampau, menentang akan kekal di dalam neraka
6. Tazkirah amat berguna kepada mereka yang bersedia mencari kebenaran, kemudian beriman dengan al-Quran, takutkan azab Allah dan nerakanya - mereka akan diampun dan dimasukkan ke syurga.
7. Kebangkitan semula adalah benar dan kita wajib mempercayainya. Allah maha berkuasa melaksanakannya. Balasan akan disempurnakan berdasarkan amalan masing-masing tanpa mengabaikan walau sedikit.
(akan bersambung.... insyaAllah)

Kelas KAFA

InsyaAllah Masjid Taman Temerloh Jaya akan membuka Kelas KAFA secepat mungkin. Terbuka kepada semua yang berumur antara 6 hingga 17 tahun. Sesiapa yang berminat sila isi borang dan hantar kepada AJK Masjid TJ. Maklumat lanjut mengenainya akan diberitahu kemudian. 
borang KAFA

Monday, November 29, 2010

Pengenalan kepada ilmu Tafsir.

Muqaddimah :

Asas pembinaan dalam Islam ialah al-Quran dan as-Sunnah. Kedua-dua sumber terpenting ini mesti diletakkan di hadapan dan dijadikan rujukan kerana al-Quran adalah dari Allah SWT, manakala as-Sunnah Sohihah pula bersandarkan persabdaan nabi SAW yang dibimbing wahyu Allah.

Kefahaman yang betul tentang  al-Quran dapat diperolehi menerusi Manhaj Tafsir yang digariskan ulamak berdasarkan ciri-ciri dan syarat-syarat yang ditentukan. Antaranya, meletakkan Tafsir Bil-Ma’tsur (Tafsir berdasarkan hadis dan riwayat) sebagai asas Tafsir, disusuli dengan Tafsir Bil ra’yi yang selari dengan kehendak syara’.

Penguasaan dalam bidang Usul Hadis dan pengajian hadis amat mustahak bagi memahami Tafsir Bil-Ma’sur. Tanpa pengetahuan mendalam dalam bidang hadis amat sukar bagi seseorang itu memahami Tafsir Bil-Ma’sur.
 

 

Israiliyyat adalah isu yang berkait rapat dengan Tafsir Bil Ma’sur kerana ia berkembang melalui periwayatan. Kewujudannya di celah-celah tafsiran al-Quran boleh menimbulkan bahaya tanpa disedari khususnya Israiliyyat yang bersifat merosakkan aqidah seseorang. Dalam banyak hal ia boleh menghalang seseorang dari memahami dan menghayati al-Quran.

Isu Israiliyyat perlu ditangani menerusi pemahaman yang betul tentang zat Israiliyyat itu sendiri, pembahagiannya serta cara atau pun kaedah bagi mengenal pasti atau mengenal Israiliyyat. Untuk tujuan itu, kertas ini dikemukakan.

Nama Zulaikha dalam kisah yusuf antara yang bersumber dari cerita Israiliat
 
Pengenalan :

Pengenalan Israiliyyat sebagaimana yang dinyatakan oleh Doktor Muhammad Husin az-Zahabi rahimahullah: “lafaz Israiliyyaat- pada zahir adalah lafaz yang jama’, lafaz mufradnya Israiliyyat. Ia adalah kisah atau peristiwa yang dinukilkan dari sumber Israiliyyi dinisbahkan kepada Israiliyyat iaitu Nabi Ya’qub bin Ishak bin Ibrahim. Kepadanyalah dinisbahkan bangsa Yahudi, lalu dikatakan “ Bani Israil” (Az-zahabi , Doktor Muhammad Husin, al-Israiliyyaat dalam Tafsir dan Hadis,  muka surat 19)

Menurut Doktor Zahabi ulamak tafsir dan hadis  telah memperluaskan pengertian Israiliyyat daripada hanya berkisar tentang cerita yang bersumberkan Yahudi kepada apa jua yang dianggap tidak berasas samada ia berbentuk dongeng dahulu kala ( sebahagian ulamak melabelkannya الدّخيل ) yang boleh jadi asalnya adalah dari sumber Yahudi atau Nasrani atau sumber-sumber lain (Ibid., muka surat 19-20). Oleh kerana kebanyakan cerita yang diterima bersumberkan sumber Yahudi, maka lafaz Israiliyyat lebih sesuai digunakan.
 
Pengenalan atau definisi Israiliyyat yang dikemukakan oleh Doktor Zahabi amat penting kerana beliau dikira tokoh utama yang membincangkan persoalan berkaitan Israiliyyaat. Sehigga hari ini, saya tidak mendapati seseorang pun yang menulis atau membahaskan isu Israiliyyat melainkan ia terpaksa merujuk kepada tulisan  dan pandangan Doktor Zahabi ( lihat: Doktor Ahmad Najib bin Abdullah. Tesis Ph.D muka surat 16-18.Universiti Islam Madinah)

Perkembangan ringkas Israiliyyat : (lihat, al-Israiliyyaat  dalam  Tafsir dan Hadis, muka surat 22-38)

Menurut sejarah, orang-orang Yahudi telah pun menetap bersama dengan orang-orang Arab sejak zaman sebelum Islam. Mereka memiliki ilmu pengetahuan yang diambil dari ajaran Kitab Taurat dan buku-buku ugama  mereka yang lain. Orang-orang Arab sering kali bertanya orang-orang Yahudi tentang perkara-perkara yang berhubung sejarah lama berkenaan tokoh, peristiwa dan cerita tertentu.

Sebahagian sahabat nabi seperti Abu Hurairah dan Ibnu ‘Abbas r.a ada bertanya ahli kitab Yahudi yang memeluk Islam tentang beberapa perincian cerita terdahulu (Ibid, muka surat 66.التفسير والمفسرون 1/70. Ibnu kasir, البداية والنهاية ,1/17...) tetapi pertanyaan mereka adalah terhad kepada aspek-aspek tertentu, tidak termasuk persoalan akidah. Mereka melakukan demikian kerana mereka faham keharusan yang diberikan nabi SAW dalam meriwayatkan cerita Israiliyyat.

Di zaman tabi’in, proses periwayatan Israiliyyat menjadi lebih aktif disebabkan kecenderungan masyarakat mendengar  cerita-cerita yang agak luar biasa.

Apabila datangnya tabi’ tabi’iin periwayatan menjadi lebih serius dengan munculnya golongan  “ القصّاص”(al-Qassas) iaitu penyampai cerita yang tidak bertanggungjawab.

Era pembukuan karya Islam kemudiannya menyaksikan  bagaimana tafsir al-Quran termuat dicelah-celah tajuk kitab-kitab hadis sebelum ia terpisah dan dapat menentukan  kedudukannya sendiri.

Pada peringkat awalnya, tafsir al-Quran dipersembahkan dengan lengkap bersanad kemudiannya sanad-sanad yang menghiasi matan-matan riwayat dibuang dengan tujuan untuk meringkaskan dan meringankan saiz kitab-kitab tafsir yang penuh sarat dengan muatan rangkaian perawi itu.

Justeru terbuangnya sanad, maka riwayat-riwayat tafsir mula menempuh  keadaan yang amat sukar dan bermasaalah  di mana tidak dapat  dipastikan lagi  riwayat yang boleh diterima dan riwayat yang tidak boleh diterima. Dari timbunan riwayat inilah terdapat Israiliyyaat yang akhirnya melengkapi sebahagian besar tafsiran ayat-ayat al-Quran. Ini berlaku bukan sahaja kepada kitab-kitab Tafsir Bil Ma’tsur bahkan menular kepada kitab-kitab Tafsir Birra’yi dengan kadar yang berbeza.

Pembahagian Israiliyyat :

Apabila disebut Israiliyyat pada kebiasaanya ia merujuk kepada riwayat-riwayat Israiliyyat yang bersifat negatif atau yang sukar diterima isinya.

Merujuk kepada pembahagian ulamak antaranya Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah ( Ibnu Taimiyyah,Muqaddimah dalam Usul Tafsir, muka surat 100) Israiliyyat dapat dibahagikan kepada tiga bahagian:

Pertama: Israiliyyat yang selari dengan apa yang ada di dalam sumber Islam, al-Quran dan as-Sunnah as-Sohihah. Contohnya: riwayat yang menyebut rakan seperjalanan Nabi Musa a.s ialah Khidir.
 
Kedua: Israiliyyat yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah as-Sohihah. Contohnya: cerita malaikat Harut dan Marut yang terlibat  dengan dosa besar. Minum arak, berzina dan membunuh

Ketiga: Israiliyyat yang tidak dapat dipastikan statusnya  (maskut anhu). Contohnya, riwayat-riwayat yang menyebut bahagian anggota lembu yang diambil untuk memukul si mati dalam kisah bani Israil.
 
Hukum meriwayatkan Israiliyyat :

Terdapat dua pandangan ulamak dalam masalah ini.

Pandangan pertama: Tidak harus meriwayatkan Israiliyyat. Antara dalil mereka, hadis nabi S.A.W:

ولا تصد قوا  أهل  الكتا ب  و لا  تكذبوهم, وقو لوا  آ منا  بالله  وما  انزل  الينا

Maksudnya: “ Janganlah kamu mempercayai Ahli Kitab dan janganlah pula mendustai mereka, katakanlah kami beriman kepada Allah dan kepada kitab yang diturunkan kepada kami...” (Al-Bukhari, Sohih Bukhari, hadis nombar 4485)

Hadis ini melarang orang –orang Islam menaruh kepercayaan kepada cerita-cerita Ahli Kitab berkenaan Kitab Taurat dan sebagainya (Az-Zahbi, al-Israiliyyat dalam Tafsir dan hadis, muka surat 55-56).

Pandangan kedua: Harus meriwayatkan Israiliyyat. Antara dalil mereka, hadis nabi S.A.W:

بلغوا عنى ولو  آية,  وحدثوا  عن  بنى اسرائيل  لا حرج, ومن  كذب على  متعمدا  فليتبوأ مقعده  من  النار.

Maksudnya; “Sampaikanlah daripadaku sekalipun satu ayat, riwayatkanlah daripada Bani Israil, tiada salahnya. Sesiapa melakukan pendustaan terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyiapkan tempatnya dalam neraka” (Bukhari, Sohih al-Bukhari, Hadis Nombar 3461)

Kedua-dua pandangan ini mempunyai dalil dan hajat masing-masing tetapi setelah dibuat penelitian, kedua-dua pandangan tersebut dapat disesuaikan mengikut pertimbangan berikut:

1.                   Al-Quran sendiri banyak menceritakan cerita-cerita Bani Israil dan cerita-cerita tentang umat terdahulu. Ia juga mengisyaratkan keharusan merujuk  kepada Ahli Kitab.

2.                   Nabi S.A.W pula ada menceritakan tentang cerita Bani Israil seperti A-Abros, Al-‘Ama, Al-Akro’ dan cerita A-Ghor.

3.                   Hadis Nabi S.A.W yang mengharuskan periwayatan Israiliyyaat tidak bermaksud bahawa keharusan itu adalah mutlak. Ia terikat kepada apa yang baik atau sesuatu cerita atau perkara yang tidak dipastikan statusnya yang mana ia boleh dianggap benar atau dusta, tetapi tiada petunjuk yang memperlihatkan dusta atau batilnya.

4.                   Riwayat-riwayat Israiliyyat yang jelas dustanya atau yang tidak boleh diterima akal yang waras, maka tidak harus disebarkan melainkan dengan disebut kebatilannya.


Kaedah mengecam Israiliyyaat :

Bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk mengatakan sesebuah riwayat itu Israiliyyaat atau tidak. Ilmu yang amat mustahak yang tidak dapat tidak mesti dimiliki oleh mereka yang ingin menguasai bidang ini ialah Ilmu Tafsir al-Quran, khususnya yang melibatkan kisah-kisah al-Quran, Ilmu Mustholah Hadis, Ilmu Rijaal Hadis, di samping pengetahuan mendalam tentang hadis-hadis yang sohih dan tidak sohih berkenaan kisah para Nabi dan kisah-kisah lampau.

Di sini saya cuba menyenaraikan beberapa kaedah atau cara yang boleh membantu bagi mengenal atau mengecam Israiliyyaat. Kaedah ini diperolehi setelah penulis membuat kajian terperinci terhadap ciri-ciri Israiliyyaat yang terdapat di dalam Tafsir At-tobari dengan mengambil kira pandangan ulamak mu’tabar dalam membuat kritikan dalam riwayat-riwayat Israiliyyaat (lihat, Doktor Ahmad Najib Bin Abdullah. Tesis Ph.D, muka surat 40-66.Universiti Islam Madinah)

Supaya lebih teratur, saya bahagikan cara ini kepada empat sudut , pertama, pengamatan kepada sanad riwayat Israiliyyaat, kedua, pengamatan kepada matannya, ketiga, merujuk kepada  pandangan ulamak yang mu’tabar dalam bidang Israiliyyaat dan keempat, merujuk kepada sumber-sumber Yahudi sendiri.

Pertama: Pengamatan sanad

1.                   Rijaal / perawi terkenal dengan meriwayatkan Israiliyyat seperti Abdullah Bin ‘Amar Bin al-‘Ash, Abu Hurairah dan Abdullah Bin Salam dari kalangan sahabat. Dari kalangan tabi’in pula seperti Ka’ab Bin al-Ahbar, Wahab Bin Munabbbih, as-Saiyyidul al-Kabir, Qatadah, al-Hasan al-Basri dan Mujahid manakala dari kalangan golongan tabi’ tabi’in pula seperti Ibnu Ishaq, Ibnu Zaid dan Ibnu Juraih.

2.                   Terdapat kenyataan jelas dari perawi menyebut bahawa riwayat yang disampaikan adalah bersumberkan sumber Israiliyyaat.

3.                   Sanad riwayat Israiliyyaat kebiasaannya bersifat terhenti “mauquf” kepada sahabat, bukan “marfu’” kepada Nabi S.A.W.

Kedua: Pengamatan matan

1.                   Persoalan yang disentuh Israiliyyaat biasanya mengenai asal usul kejadian alam serta rahsianya seperti asal usul kejadian langit dan bumi serta cerita “الجوت

2.                   Matan mengandungi kisah para Nabi dan kisah-kisah lampau.

3.                   Perincian kepada kesamaran (mubhamat) iaitu perkara yang tidak dijelaskan al-Quran seperti menentukan jenis pokok larangan dalam syurga yang dilarang Allah kepada Nabi Adam dan isterinya Hawa dan menentukan bahagian anggota lembu yang digunakan untuk memukul si mati dalam kisah bani Israiliyyaaat.

4.                   Matan memperlihatkan “keterlampauan” ketara seperti cerita  salah seorang anak Nabi Adam a.s yang memikul saudaranya yang dibunuh selama seratus tahun, dibawanya ke sana ke mari sehingga Allah menghantar burung gagak untuk mengajarnya cara menyimpan jenazah saudaranya itu.

5.                   Matan mengandungi perkara-perkara yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah as-Sohihah seperti matan yang menyebut bahawa isteri Nabi Nuh a.s adalah daripada mereka yang selamat dari azab banjir besar.

6.                   Matan mengandungi perkara-perkara yang menyalahi  kesucian “`ashamah” para Nabi dan malaikat seperti dalam cerita keinginan nabi Yusuf terhadap isteri pembesar Mesir yang sampai keperingkat paling kritikal iaitu menangggalkan seluar serta kisah tentang malaikat  Harut dan Marut.

7.                   Matan menyebut cerita-cerita khurafat dan karut seperti cerita gergasi “’Aaj bin ‘Unuq” dan puak “jabbaarin”.

8.                   Matan menceritakan sesuatu yang pelik “gharib” seperti yang menyebut bahawa bilangan alam sebanyak lapan belas ribu atau empat belas ribu.

9.                   Adanya percanggahan fakta pada matan seperti penentuan anggota lembu bani Israil di mana ada yang mengatakan paha, lidah, ekor dan sebagainya.

10.               Terdapat kenyataan di dalam matan menyebut bahawa ia diambil dari sumber Israiliyyaat samada dari Ahli Kitab atau kitab Bani Israil.

11.               Disebut pada matan lafaz-lafaz “tadh’if” atau tamridh yang menjelaskan bahawa ia dianggap lemah.

Ketiga: Merujuk kepada ulamak

Ulamak yang banyak membicarakan isu Israiliyyaat seperti:

1.             Ibnu Hazam dalam kitab al-Faslu Fil Milaali Wal Ahwa’i Wan Nihal.

2.             At-Thobari dalam kitab Jami’ul Bayan Fi Ta’wili Aayil Quran dan Tarikhul Umami Wal Muluk.

3.             Al-Qodhi ‘Iadh dalam Kitabus Syifaa’ Bita’rifi Huquqil Mustafa.

4.             Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitab An-Nubuwwah dan Al-Jawabus Sahihu Li Man Baddala Diinul Masih.

5.             Ibnul Qayyim dalam kitab Hidayatul Hiyari Fi Ajwibatil Yahudi Wan Nashora.

6.             Al-Hafiz Ibnu Katsir dalan kitab tafsirnya dan juga Al-Bidayatu Wan Nihayah.

7.             Rahimahullah Al-Hindi dalam Izharul Haq.

8.             Jamaluddin al-Qosimi dalam Mahasinut Ta’wil.

9.             Doktor Muhammad Husin az-Zahabi dalam   Al-Israiliyyaat Fit Tafsir Wal Hadits   dan Kitabut Tafsir Wal Mufassirun.

10.         Al-‘Allamah Abu Syahbah dalam Al-Israiliyyaat Wal Maudhu’at Fi Kutubit. Tafsir.

11.         Syeikh Abdul Wahab an-Najjar dalam Qishoshul Anbiya’.

Keempat: Merujuk sumber-sumber Yahudi

Tujuan merujuk kepada sumber-sumber Yahudi tidak bermaksud kita mengiyakan atau membenarkan apa yang termaktub dalam kitab-kitab mereka tetapi sekadar untuk melakukan perbandingan dengan kitab-kitab warisannya ulamak mu’tabar kita dalam soal-soal yang berkaitan dengan Israiliyyaat. Sekiranya ia disebut dalam sumber-sumber berkenaan maka ia meyakinkan kita bahawa ia memang satu riwayat Israiliyyaat.

Sumber-sumber Yahudi seperti berikut :

1.                   Kitab Taurat.

2.                   Talmud.

3.                   Kitab-kitab Yahudi yang lain.

Selain daripada sumber Yahudi terdapat juga sumber Nasrani yang termuat dalam Kitab Injil tetapi Israiliyyaat di dalam sumber Nasrani amat sedikit berbanding sumber Yahudi sendiri.

Penutup :

Israiliyyaat merupakan cerita-cerita berkaitan rapat dengan warisan Yahudi. Ia tersebar melalui berbagai peringkat dan suasana sehingga mampu bertapak di dalam karya warisan Islam, tafsir dan hadis.

Kehadirannya perlu ditangani dengan sebaik mungkin melalui pengkelasan yang wajar berdasarkan pembahagian ulamak terhadap Israiliyyaat.

Tiada jalan pilihan bagi kita melainkan kita menolak segala rupa bentuk Israiliyyaat yang menyalahi pegangan kita sebagai orang Islam dan boleh menjahanamkan aqidah kita terhadap Allah, malaikatnya serta para Rasulnya.

Israiliyyaat yang statusnya tidak jelas “maskut ‘anhu” hendaklah diriwayati dengan bijak walaupun ia harus diriwayatkan namun kita diingatkan untuk tidak memberi perhatian kepada perkara yang tidak memberi faedah, tidak mendekatkan diri kita memahami dan menghayati al-Quran, sebaliknya ia hanya menghabiskan masa sahaja.

Pengamatan pelbagai dimensi penting bagi mengenal pasti riwayat Israiliyyaat. Penganalisis Israiliyyaat perlu mempunyai daya kritik yang tinggi serta sifat berani demi memperjuangkan kebenaran. 
Oleh: Dr. Ahmad Najib Bin Abdullah al-Qari' 

Asbabunnuzul - peristiwa berkaitan dgn turun ayat -ayat dlm surah`yasin'

1. (ayat 1-7) dikeluarkan oleh Abu Naim drp ibnu abbas katanya, Rasulullah membaca surah sajdah dengan jahar (bacaan kuat) menyebabkan org qurisy bertindak untuk memukul nabi. Apabila tangan mereka hendak mencekik nabi, mata mereka menjadi buta tidak boleh melihat. mereka minta  nabi berdoa supaya mereka dapat melihat kembali.Tidak seorangpun dari kelompok itu yang beriman.

2. (ayat 8) dikeluarkan oleh ibnu Jarir al-Tabari drp akrimah katanya; abu jahal berkata `jika aku jumpa muhammad aku akan lakukan (bunuh/pukul). Kawan-kawannya beritahu ; ini muhammad, tapi dia tak nampak, dia bertanya; mana dia?,  mana dia?'

ayat 11. tazkirah akan berguna kepada org yang beriman kepada quran serta yang mengikut hukum dan syariat allah, mereka takut kepada balasan Allah, untuk mereka ini berita gembira dengan keampunan, ridha allah serta balasan yg mulia, nikmat yg kekal iaitu syurga.( kuliah/tazkirah tidak akan berguna kepada mereka yang kufur...tidak mahu berubah)

3. (ayat 12)  dikeluarkan oleh Tarmizi dan Hakim drp abu said al-khudri katanya bani salimah tinggal di pinggir madinah (jauh), dia bercadang untuk pindah ke dekat masjid. Turun ayat ini, dan nabi beritahu mereka, tak payahlah pindah, allah akan catatkan ( pahala langkah kamu ke masjid)

Sunday, November 28, 2010

Tafsir Surah Yasin - kitab wahbah zuhaili, al-munir.

Jilid 11 ms 629 juzu` 21 & 22, Darul Fikr, Damsyik Syria th 2003 cetakan kedua.
Nama Surah: Yasin, kerana surah ini dimulai dengan huruf ya dan sin.
Tempat turun: Makkah
Ayat: 83 ayat.

 Kandungan:
asas akidah dlm mengagongkan alquran, keesaan dan kekuasaan Allah, berita gembira kpd yg beriman serta amaran siksaan kepada yang kufur, kebangkitan dan dalil penciptaan.
Surah dimulai dengan  Allah bersumpah dengan al-Quran bahawa Muhammad adalah rasul yang benar drp Tuhan untuk mengingatkan kaum arab dan ajam. Manusia terbahagi dua, menentang risalah dan menyokong risalah.

Sebagai perbandingan Allah mengungkapkan sejarah penduduk kota yang mendustakan rasul satu demi satu serta membunuh orang yang memberi nasihat dan berdakwah kepada mereka. Pendakwah Islam itu mati dan Allah masukkan dia ke syurga sedangkan penduduk kota itu Allah masukkan ke neraka.

Selanjutnya Allah menerangkan tentang kebangkitan serta kekuasaan Allah untuk menghidupkan tanah yang mati, peredaran malam dan siang, matahari, bulan dan bintang-bintang yang beredar dan yang tetap, pelayaran kapal-kapal di lautan, gambaran kiamat, bangkit dari kubur dan neraka. Manakala org mukmin mendapat nikmat syurga aman dan sejahtera.

Al Quran merupakan peringatan serta penghidup bagi hati, mengingatkan segala nikmat serta faedah yang diperoleh drp binatang ternak untuk makanan, minuman dan pakaian. tetapi orang kafir mengambil patong sebagai penolong mereka sedangkan ia tak punya sebarang faedah. Surah ini ditamatkan dengan menafikan secara pasti pendapat golongan yang tidak percaya kepada kebangkitan semula dengan menerangkan kuasa Allah menumbuhkan pokok-pokok hijau, penciptaan langit dan bumi serta kepantasan penciptaannya.
Abu Daud meriwayatkan daripada Ma`qal bin Yasar, Nabi bersabda maksudnya: ` bacalah olehmu semua, `yasin' kepada orang yang hampir mati dari kalangan kamu'. 

Khutbah minggu ini 26.11 - 2. 12. 2010.

Tajuk : Syirik.
Intisari:-

 


1. Firman Allah dlm surah An-Nisa` 48; `sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik kepadanya dan akan mengampunkan dosa yang lain bagi sesiapa yang dikehendakinya, sesiapa yang syirik kepada allah, sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.'

2. Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya; ketahui olehmu, ada tiga dosa yang paling besar yang dilakukan oleh manusia dan dimurkai oleh Allah; pertama Syirik kepada Allah, kedua durhaka kepada kedua ibu bapa dan ketiga bersaksi palsu atau berkata dusta.

3. Syirik bermaksud menduakan Allah dengan sesuatu samaada dalam amalan atau semasa melakukan ibadah kepada Allah. Syirik boleh berlaku dalam berbagai bentuk  atau tindakan seseorang.

4. Dosa syirik sangat besar dan tidak akan diampun oleh Allah.

5. Syirik akan  membatalkan segala amalan seseorang seperti sembahyangnya, puasa, zakat, haji, sedekah dll.

6. Orang yang syirik adalah sesat yang amat jauh. `sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang syirik kepadanya dan akan mengampunkan dosa selain dari itu bagi sesiapa yang ia kehendaki. Sesiapa yang syirik terhadap Allah, sesungguhnya ia telah sesat dalam kesesatan yang sangat jauh.' (an-nisa` 116)

7. Syirik juga merupakan satu kezaliman (surah Luqman 13)

8. Syirik terbahagi dua iaitu  jali atau nyata/terang dan syirik khafi iaitu tersembunyi.

8 (a) syirik jali seperti menyembah patung berhala, mematuhi taghut dll

8 (b) syirik khafi ialah riyak, menunjuk-nunjuk dan membuat amalan kerana manusia.

9 Syirik berlaku dalam 3 keadaan: hati, perbuatan dan perkataan.

Hati - aqidah, seperti meragui ajaran/perintah allah dengan menganggap ianya tidak sesuai dengan zaman

Perbuatan - melakukan penyembahan kepada selain Allah. Membesarkan manusia setaraf dengan allah

Perkataan - berkata sesuatu yang berlawanan dengan sifat allah.

10. Jauhilah syirik kerana syirik membawa ke neraka.

(disediakan oleh Ustaz Salleh Talib)

Friday, November 26, 2010

Kuliah Tafsir

Kuliah Tafsir  


Ada jemaah komplen kenapa masjid tidak menyediakan kuliah Tafsir Al Quran. Berikutan dengan itu, petang tadi Pengerusi bersama AJK Biro Dakwah berkunjung ke Maahad Tahfiz Sungai Salan Jerantut untuk mencari tenaga penceramah. Maulana meminta tangguh 3-4 hari untuk beliau membuat keputusan. 


Pengerusi mencadangkan supaya Maulana menggunakan Kitab Tafsir Al Munir. Tetapi Maulana kata berat sangat untuk orang awam. Cukuplah dengan Pimpinan Ar Rahman. Walaubagaimanapun, penceramah akan menokok tambah berdasar kepada kitab kitab tafsir yang muktabar sesuai dengan tajuk serta isu semasa.

Dengan itu, marilah kita semua berdoa kepada Allah semoga Maulana dapat menerima undangan kita untuk mengajar Tafsir di Masjid TJ. Amin.


Khutbah Jumaat

Selepas Solat Jumaat tadi, Pengerusi berjumpa dengan Tuk Khatib untuk mendapatkan teks khutbah yang bertajuk Syirik untuk dimuatkan dalam blog ini. 
Tuk Khatib minta tangguh 2-3 hari untuk beliau menyiapkannya secara lengkap. Diharapkan selepas ini, setiap khutbah akan dapat dipaparkan di halaman blog ini untuk tatapan umum.

Masjid Di Haidrabad India





Saturday, November 13, 2010

Qurban

musim qurban dah sampai. marilah kita berqurban setiap tahun, semoga Allah memudahkan kita.

ini hadis bukhari dan muslim (ringkasan) tentangnya.

lembu qurban masjid tj
1. Nabi memberi tanda dan kalong binatang qurban.
sekitar majlis qurban masjid tj
2. Binatang qurban boleh ditunggang (dlm perjalanan ke Mekah)
3. Boleh kongsi qurban unta dan lembu seramai 7 orang.
4. Nabi pernah qurban lembu untuk aisyah.
5. Tukang sembelih tidak boleh diberi upah dari daging qurban. Keluarkan duit lain.
6. orang yg nak qurban, jgn potong kuku dan rambut mulai 1 zulhijjah hingga menyembelih qurban- huraian syikh arshad albanjari dlm ktb sabil almuhtadin m.s 217 jld 2.
7 sembelih lepas solat raya.
8. umur binatang qurban - 2 tahun -(biri-biri boleh satu tahun)
9. rasul pernah qurban 2 ekor biri-biri, beliau sembelih sendiri.
10. nabi menyembelih di musalla.
11.Daging  boleh dimakan, diberi kepada orang lain, boleh disimpan.

Monday, November 8, 2010

adab masjid

ADAB MASJID
BERANGKAT KE MASJID

1. Mulai dengan kaki kanan.
2. Berjalan dengan tenang dan tidak tergesa-gesa. Doa Nabi ketika dalam perjalanan menuju Masjid:
"Ya Allah jadikanlah dalam hatiku cahaya dan lidahku cahaya dan jadikanlah pada pendengaranku cahaya dan penglihatanku cahaya dan jadikanlah di belakangku cahaya dan di hadapanku cahaya dan di bawahku cahaya, Ya Allah berikanlah kepadaku cahaya"

ADAB MASUK MASJID
1. Membuka kasut dan masuk dengan mendahulukan kaki kanan. Ketika masuk masjid, Rasululah mengajar kita membaca doa " Ya Allah, bukakanlah untukku pintu RahmatMu "
2. Memberi salam kepada sesiapa yang berada didalam masjid, sekira tiada oarang dalam masjid tersebut maka ucapkanlah: " Selamat keatas kami dan atas hamba Allah yang solih"
3. Mengerjakan solat sunnah Tahiyatul Masjid ( Menghormati Masjid )

ADAB DALAM MASJID
1. Duduk menghadap Qiblat.
2. Memohon doa supaya Allah membuka pintu rahmatNya.
3. Sentiasa menyebut nama Allah.
4. Menghadirkan Allah dalam hati.

5. Menghentikan percakapan tentang hal-hal dunia.

6. Jauhi dari menghina Islam.
7. Bezikir dengan suara perlahan.

ADAB KETIKA MENDENGAR AZAN
1. Berdiam diri.
2. Menjawab seruan Azan.
3. Berdoa setelah selesai Azan.
4. Di tambah dengan doa permohonan kerana doa antara Azan dan Iqamah di maqbulkan.
5. Kerjakan solat sunat Rawatib.

ADAB KELUAR MASJID

1. Mohon ampun dan bimbingan Allah agar selamat selama di luar.
2. Berniat untuk datang kembali.
3. Mendahulukan kaki kiri sambil berdoa: "Aku berlindung dengan nama Allah Yang Maha Agung dengan Zat Yang Maha Mulia dan kekuasaanNya yang qadim dari syaitan yang terkutuk".
4. Memberi salam kepada orang yang masih tinggal di masjid.
--------------------------------------------------------------------------------
Masjid paling mulia di sisi Allah di dalam Islam ialah Masjid Al-Haram di Mekah, Masjid An-Nabawi di Madinah dan Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis, Sabda Rasullullah s.a.w :

" Sebaik-baik kamu hendak musafir ialah ke masjidku ini ( Masjid Madinah ), Masjid Al-Haram ( Mekah ) dan masjid Al-Aqsa ( Baitul Maqdis ) "

dikutip daripada http://suraualikhlas-sgbuaya.blogspot.com/2010/04/etika-dan-adab-adab-masjid.html

Friday, November 5, 2010

Jawatan Kosong


Jawatan Kosong

Permohonan adalah dipelawa untuk mengisi kekosongan
jawatan:

Makmum Solat Jemaah Lima Waktu

Pendapatan Lumayan: 27 kali ganda pahala (5 x sehari)

Elaun Perjalanan: 1 langkah ke masjid/surau = 1 pahala dan terhapus 1 dosa

Bonus Bulanan / Mingguan: Khutbah Jumaat, Kuliah Maghrib dan Kuliah Subuh

Kelayakan:

Lelaki dan Perempuan, Tidak Gila dan Tidak Uzur Syar’ie

Hadir Temuduga:

Di masjid dan surau berdekatan kediaman anda
Waktu: Subuh, Zohor, Asar, Maghrib, Isya’

Tarikh Tutup:

Sebelum Mati atau Tiba Hari Kiamat